Kemelut yang melanda Istana Kelantan nampaknya semakin serius. Sultan Kelantan yang beransur pulih dari kegeringan sudah berangkat pulang ke Kota Bahru. Tengku Mahkota masih memangku tugas Sultan Kelantan walaupun baginda Sultan sudah kembali ke Kota Bahru. Krisis dalam Istana Kelantan ini agak membimbangkan orang Kelantan. Kedaulatan Raja-raja Melayu perlu dijaga demi kepentingan orang Melayu. Ini adalah lambang orang Melayu dan payung kesucian Islam di negara ini.
Krisis Istana Kelantan bukan hanya perselisihan antara Putera-putera Sultan Kelantan malah ia lebih serius. Seolah-olah ada tangan-tangan ghaib yang memain peranan untuk menambah buruk kemelut tersebut. Raja Perempuan Kelantan sebelum ini menzahirkan dukacita baginda atas perbuatan pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan yang tidak menziarahi Sultan Kelantan semasa dirawat di singapura walaupun dititah berbuat demikian. Kerajaan Kelantan juga menyinggung perasaan Sultan Kelantan apabila mengeluarkan kenyataan tidak tepat berkenaan keadaan kesihatan Sultan Kelantan. Keputusan Kerajaan Negeri untuk membawa pulang Sultan Kelantan ke Malaysia kerana tidak mampu menanggung kos perubatan Sultan Kelantan di Singapura juga adalah satu penghinaan kepada Sultan Kelantan.
Sukar untuk menafikan tindakan-tindakan biadab pimpinan kerajaan negeri Kelantan terhadap institusi Raja Melayu di Kelantan. Penganjuran pesta Jom Heboh di Kelantan yang mendapat kelulusan kerajaan negeri pada masa Sultan Kelantan masih gering walau beransur pulih sukar diterima. Tambahan pula keputusan kerajaan negeri meneruskan sambutan ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan dan Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran pada 30 Mac ini walaupun tidak diperkenan oleh Sultan Kelantan. Kerajaan negeri bertegas majlis itu boleh disempurnakan oleh Pemangku Sultan.
Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Nik Aziz seolah-olah tidak hormat kepada Istana Kelantan dan Sultan Kelantan. Tindakan kerajaan negeri seperti mengecil-ngecilkan kedudukan dan kehormatan Istana dan Sultan Kelantan. Mungkinkah Nik Aziz berpandangan kedudukan Sultan Kelantan di bawah Undang-undang Tubuh Negeri/Perlembagaan dalam sistem Raja Berpelembagaan yang diamalkan di negara ini meletakkan Raja-raja Melayu di bawah dari Dewan Undangan Negeri yang diwakili oleh rakyat dan diketuai oleh beliau? Mungkin juga Nik Aziz merasakan Dewan Undangan Negeri yang diketuai beliau berkuasa menggubal Perlembagaan Negeri lebih tinggi kedudukannya dari Sultan Kelantan?
0 responses to "'Musang Berjanggut' dalam Istana Kelantan"